
JOHOR BAHRU: Busana tradisional bukan sekadar dipakai ketika majlis rasmi atau sambutan perayaan tetapi mampu menjadi simbol perpaduan dan gaya hidup sihat apabila ratusan peserta menyertai Teluk Belanga Fun Walk di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri di sini hari ini.
Teluk Belanga Fun Walk merupakan sebahagian daripada pengisian sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 yang bertemakan Muzium Menyatukan Dunia yang Terpisah.
Program santai berkenaan menterjemahkan semangat perpaduan yang utuh serta kebersamaan komuniti dalam memelihara khazanah budaya bangsa.

Teluk Belanga Fun Walk 2026 adalah manifestasi yang melangkaui sebuah acara jalan santai atau larian biasa sejauh 3 kilometer (km).
Ia merupakan satu wadah integrasi yang menghidupkan semula keagungan pakaian tradisional, memugar semula warisan luhur dan menyemarakkan solidariti masyarakat dalam satu platform penuh bersejarah.
Penganjuran program itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat malah mempromosi dan memelihara kepentingan budaya busana Teluk Belanga sebagai simbol identiti tradisional Johor melalui penglibatan komuniti moden.

Teluk Belanga Fun Walk turut memperkenalkan tiga checkpoint menarik yang menawarkan jajan terkenal Johor, Mi Siput dan cabaran tendangan penalti.
Selain itu, para peserta juga boleh merasai sajian warisan Johor, Kacang Pool dan air Sakar manakala sebelum melintasi garisan penamat terdapat laluan Red Carpet Show Busana Johor memberi ruang merakam imej atau video untuk dijadikan momen indah.

Lebih menarik Teluk Belanga Fun Walk turut menawarkan tiga kategori Busana Terbaik Lelaki, Busana Terbaik Wanita dan Busana Keluarga Terbaik kepada para peserta yang berjaya menambat hati juri dengan busana mereka.
Juara Busana Terbaik Lelaki Teluk Belanga Fun Walk, Mohd Noor Syafiq Mohd Razi berkata, program berkenaan sesuatu yang menarik kerana memperkenalkan budaya warisan Johor kepada khalayak umum.
Lelaki 33 tahun berasal dari negeri Sembilan itu memberitahu, dia tidak menjangka dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Bagi Juara Busana Terbaik Wanita pula, Wanda Sulaiman, 48, dia sangat mencintai budaya warisan Johor sehingga sanggup datang dari Pahang untuk bersama-sama memeriahkan Teluk Belanga Fun Walk.
“Pada kebiasaannya, apabila saya menyertai larian memang biasa memakai busana tradisional seperti baju kebaya, cheongsam dan sari.
“Bagaimanapun, budaya warisan tradisional ini memiliki keistimewaan tersendiri dan saya ingin memberi sokongan kepada inisiatif Teluk Belanga Fun Walk untuk meraikan kepelbagaian budaya Malaysia sambil menghargai warisan turun-temurun ini.
“Bahkan, Teluk Belanga Fun Walk merupakan penyertaan pertama saya dalam Fun Walk,” ujarnya.

Keluarga Md Yusoff Hashimee Abdullah yang merangkul gelaran Juara Busana Terbaik memberitahu, sebagai orang Johor, dia ingin bersama-sama meraikan Teluk Belanga Fun Walk sempena FHMAPK 2026.
“Selain itu, saya menyertai Teluk Belanga Fun Walk untuk beriadah bersama keluarga dan tidak sangka terpilih memenangi kategori keluarga.
“Walaupun terdapat kesukaran sedikit apabila berjalan dengan berpakaian lengkap ini, saya tetap puas hati kerana dapat memperkenalkan warisan budaya Johor,” kata lelaki berasal dari Batu Pahat, Johor itu.





