
JOHOR BAHRU: Muzium bukan sekadar tempat menyimpan khazanah sejarah malah menjadi ruang yang menghubungkan manusia merentasi usia, budaya dan sempadan.
Bertepatan tema Hari Muzium Antarabangsa 2026, Muzium Menyatukan Dunia yang Terpisah (Museums Uniting a Divided World), dua pameran istimewa dari Indonesia dan Singapura membuktikan bagaimana kreativiti serta warisan budaya mampu menyatukan masyarakat melalui pengalaman yang interaktif.
Dua reruai didatangkan khas dari negara jiran tersebut menjadi antara tarikan pengunjung Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 yang berlangsung di Padang Akasia, Pusat Beli-belah Angsana di sini.

Reruai Asosiasi Museum Indonesia Daerah (AMIDA) Kalimantan, Indonesia tampil dengan konsep Jalinan Serumpun Borneo: Merajut Budaya, Menyatukan Perbedaan yang mengangkat kekayaan warisan budaya Pulau Borneo.
Ketua AMIDA, Siti Musrikah berkata, selaras dengan tema Hari Muzium Antarabangsa, pameran itu menampilkan Borneo sebagai sebuah wilayah budaya yang walaupun dipisahkan oleh sempadan geografi tetap berkongsi akar sejarah, nilai kehidupan dan tradisi saling berkait antara satu sama lain.
“Melalui reruai ini, para pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi penghasilan tenun ikat, pembuatan kraf manik Dayak, persembahan tarian tradisional Dayak dan Melayu.
“Selaini tu, mereka juga dapat menikmati alunan muzik tradisional Sape yang menjadi antara identiti masyarakat Borneo,” katanya.

Beliau menjelaskan, setiap persembahan dan demonstrasi membolehkan pengunjung berinteraksi secara langsung dengan penggiat budaya sekali gus memberikan pengalaman lebih mendalam mengenai warisan masyarakat di rantau itu.
“Saya berharap pendekatan ini dapat memperlihatkan warisan budaya bukan hanya terhad kepada artifak yang dipamerkan di dalam galeri tetapi turut hidup melalui kemahiran, bunyi, gerak tari serta nilai kebersamaan yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, reruai Muzium Kanak-Kanak Singapura menjadi antara tumpuan pengunjung cilik pada FHMAPK 2026.
Eksekutif Operasi Muzium Kanak-Kanak Singapura, Nadzirah Imran berkata, reruai berkenaan membawa tema Mari Kita Mengembara Bersama WonderBot yang menggalakkan kanak-kanak meneroka dunia imaginasi, cita-cita dan kreativiti dalam suasana yang menyeronokkan.

“Setiap kanak-kanak diberi peluang membina dan menghias WishBot mengikut impian masing-masing sebelum berkongsi aspirasi masa depan mereka.
“Hasil ciptaan itu akan dipamerkan di Galeri Keajaiban WonderBot sekali gus menjadi simbol harapan, impian serta kreativiti generasi muda.
“Pendekatan interaktif ini bukan sahaja merangsang imaginasi kanak-kanak malah menggalakkan mereka berfikir secara kreatif, membina keyakinan diri dan melihat muzium sebagai ruang pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya.

Gabungan kekayaan budaya Borneo melalui AMIDA Kalimantan dan inovasi pendidikan menerusi WonderBot membuktikan muzium terus relevan sebagai platform yang merapatkan jurang perbezaan, memupuk persefahaman serta menghubungkan masyarakat dunia melalui bahasa sejagat iaitu warisan serta budaya.





