
PUTRAJAYA: Sebanyak 24 juta kampit Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) akan mula dijual dalam pasaran di seluruh Semenanjung mulai 1 Mac ini.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata barangan keperluan harian itu hanya akan dijual kepada 400,000 keluarga miskin sahaja dengan dua pek bagi setiap ketua isi rumah (KIR) mengikut tatacara ditetapkan.
Beliau berkata, sebanyak 24 juta kampit 10kg BPT bersubsidi akan mula dijual menerusi projek rintis untuk tempoh enam bulan itu dengan menyasar 400,000 KIR miskin, termasuk 77,000 KIR miskin tegar.
“Kerajaan sebelum ini sudah mengumumkan untuk membuat intervensi dengan subsidi khusus sebanyak RM150 juta bagi tempoh enam bulan.
“Jadi BPT bersubsidi ini akan mula berada di pasaran bermula 1 Mac iaitu pada hari pertama Ramadan dan akan berakhir pada 31 Ogos ini, untuk tempoh enam bulan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi memastikan bekalan BPT mencukupi di pasaran.
Beliau dilaporkan berkata, peruntukan terbabit susulan penetapan harga lantai belian padi yang diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, setiap KIR hanya dibenarkan membeli dua kampit beras bagi setiap pembelian dengan arahan khusus tatacara penjualan beras akan diberikan kepada setiap peruncit untuk memastikan bekalan berkenaan dijual kepada mereka yang disasarkan.
Katanya, bekalan itu boleh didapati di 36,000 peruncit berlesen dengan tumpuan antaranya di kawasan miskin bandar.
Ditanya bagaimana pihaknya akan memastikan bekalan BPT terbabit hanya akan dibeli golongan yang disasarkan, beliau sekadar berkata, keutamaan diberikan kepada golongan miskin dan miskin tegar.
“Untuk (BPT) subsidi ini, setiap kampit beras dijual pada satu harga sahaja iaitu RM26 sekampit 10 kg, bagi memastikan tiada manipulasi oleh mana-mana pihak.
“Kita sedar ada ‘pro and cons’, kali ini kita bergerak menggunakan kaedah sedia ada, kita tidak mengganggu jenama yang sudah ada di pasaran tetapi dari segi kawalan, kita menggunakan dua lapisan iaitu pertama secara organik iaitu pemantauan serta penguatkuasaan dan kedua akan ada tag keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, biarpun BPT akan berada di pasaran 1 Mac ini, pihaknya merancang mengadakan jualan bekalan berkenaan lebih awal iaitu pada Khamis ini menerusi Program Jualan Agro MADANI di Kedah yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pada program berkenaan, sebanyak 20,000 kampit BPT akan dijual kepada kira-kira 7,000 pengunjung yang dijangka menghadiri program berkenaan.