
KOTA BHARU: Seorang lelaki warga emas maut disondol lembu yang merupakan haiwan peliharaannya dalam kejadian di Kampung Bunut Satut, Kadok, di sini.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang Rabu lalu, Mohd Amin Sulaiman, 75, yang berhasrat untuk membuat ibadah korban menggunakan lembu peliharaannya itu meninggal dunia akibat pendarahan teruk bahagian peha akibat ditanduk lembu baka Charolais.
Adik arwah, Mustafa Sulaiman, 66, berkata ketika kejadian dia sedang solat asar sebelum menemui abangnya terbaring berlumuran darah kira-kira 20 meter dari rumah mereka.
Katanya, dia kemudian memanggil sepupu mereka, Muhamad Zainun Mat Yusof, 62 yang kebetulan baru sampai di rumah itu.
“Arwah sempat beritahu dia disondol lembu pada bahagian kaki.
“Kami berdua sempat ajar arwah abang mengucap dua kalimah syahadah sebelum abang menghembuskan nafas, 20 minit kemudian,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, hari ini.
Mustafa berkata, lembu itu menjadi kesayangan arwah kerana dipelihara sejak tiga tahun lalu.
Katanya, setiap hari arwah akan memberi lembu kesayangan makan namun tidak pernah berdepan ancaman daripada haiwan itu.
Sepupu arwah, Muhamad Zainun berkata, arwah pernah menyatakan hasrat membeli lembu untuk dipelihara dan dibuat korban bagi mencari pendapatan menampung kehidupan dua beradik itu yang sudah kematian ibu bapa dan ahli keluarga lain.
Katanya, mereka berdua hanya bekerja kampung yang ringan kerana faktor usia selain bergantung kepada bantuan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta ihsan saudara mara dan penduduk kampung.
“Arwah berhajat raya haji tahun ini dia nak jual lembu itu untuk buat korban tapi tidak kesampaian,” katanya yang memaklumkan lembu berkenaan sudah dijual dua hari selepas kejadian.