
PASIR MAS: Seorang wanita warga emas yang didakwa kes curi pada majlis kahwin, hampir pengsan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan mencuri dalam bangunan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM2,500 pada awal bulan ini.
Tertuduh yang juga seorang penjual kuih, Tuan Maimun Che Tuan, 61, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.
Susulan keadaannya itu, sidang mahkamah terpaksa ditangguhkan selama 10 minit untuk memberi ruang tertuduh kembali tenang sebelum Mohd Fauzan menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan bermula dari tarikh sabitan hari ini dan denda RM3,000 terhadap wanita berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan curi dalam bangunan, iaitu wang RM2,500 milik seorang wanita berusia 59 tahun di Kampung Tasek Berangan, di sini, sekitar jam 12.42 tengah hari 1 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, hendaklah dihukum penjara dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan.
Kertas pertuduhan itu turut menyebut sebelum ini, tertuduh mempunyai dua rekod sabitan lampau mengikut Seksyen 380 kanun sama membabitkan kesalahan mencuri dalam bangunan, iaitu di Bachok yang mana dia dihukum penjara selama 24 bulan dari tarikh tangkapan pada 9 April 2003, dan di Besut, Terengganu, membabitkan penjara 10 bulan dari tarikh hukuman pada 20 April 2011.
Mengikut fakta kes, mangsa menghadiri kenduri kahwin anak saudaranya kira-kira 11.30 pagi 1 Februari lalu dan meletak beg tangan miliknya di atas almari di bahagian dapur.
Bagaimanapun ketika mahu pulang, mangsa mendapati beg tangannya yang mengandungi wang RM2,500, hilang.
Mangsa kemudian memeriksa video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang wanita (tertuduh) mengambil beg tangan itu sekitar pukul 12.42 tengah hari 1 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengambil wang RM2,500 dan meninggalkan beg tangan itu di atas almari pinggan mangkuk berhampiran tandas di dapur.