
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan enam akta yang diluluskan oleh persidangan Dewan Rakyat sebelum ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata ia membabitkan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025.
Selain itu, Akta Perkongsian Data 2025; Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025; Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025; Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Pindaan) 2025 dan Akta Pemegang Amanah (Pindaan) 2025.
Beliau berkata demikian pada sesi pemahsyuran di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Akta Perkongsian Data diluluskan sebagai antara usaha perkukuh keselamatan data negara khususnya dalam aspek perkongsian maklumat sektor awam dan swasta.
Selain itu, Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025 bertujuan untuk menambahbaik perundangan Mahkamah Syariah termasuk daripada pelaksanaan undang-undang Islam di Wilayah Persekutuan memandangkan ada yang sudah ada agak lama.
Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 (RUU Pentadbiran) dan Rang Undang-Undang Tatacara Mal (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 (RUU Tatacara Mal) sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat, pada tahun lalu.
Sementara Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 bagi meminda Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 6 Oktober 2024.
Ia bagi meminda Seksyen 2 Akta 732 dalam takrif ‘kontrak perkhidmatan’ selaras dengan takrif ‘kontrak perkhidmatan’ dalam Akta Kerja 1955 (Akta 265), Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76).
Pindaan yang dicadang akan meluaskan skop ‘kontrak perkhidmatan’ dan kesannya, peruntukan yang berkaitan dengan gaji minimum di bawah Akta 732 akan turut terpakai bagi pekerja di bawah kontrak perantisan.