
KUALA LUMPUR: Sambutan menggalakkan daripada pengunjung terhadap program dan pameran yang diadakan Jabatan Muzium sepanjang tahun lalu menyaksikan peranan muzium kekal relevan dalam masyarakat.
Sehubungan itu, Jabatan Muzium merancang untuk mengadakan sebanyak 138 program yang merangkumi pelbagai tarikan untuk ketengahkan kepada orang ramai.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, muzium bukan sekadar ruang pameran atau tempat menyimpan khazanah bersejarah tetapi ia juga berperanan sebagai pusat ilmu, penyelidikan, serta pemuliharaan budaya dan warisan yang tidak ternilai harganya.
Justeru itu jelas beliau, tahun ini Jabatan Muzium merangka pelbagai program serta acara yang bakal memberi manfaat kepada masyarakat.
“Peluncuran Kalendar Program Jabatan Muzium Malaysia 2025 merupakan satu langkah penting dalam usaha menjadikan muzium sebagai pusat aktiviti yang lebih dinamik, mendekatkan warisan kepada masyarakat, serta menarik lebih ramai pengunjung, termasuk generasi muda dan pelancong.
“Saya percaya dengan 138 program yang dirancang dibawah kluster Semarak Perpaduan dan Semarak Kenegaraan ini seperti Citra Nusa@Muzium, Fiesta Uniti Fun@Muzium, pameran, program pengembangan dan pendidikan seperti Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM), dan Bicara @ Muzium akan merancakkan lagi landskap permuziuman negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Peluncuran Kalendar Program Jabatan Muzium Malaysia 2025, di Muzium Negara di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Baharin berkata, pada 2024, Jabatan Muzium mencatatkan pencapaian yang amat membanggakan apabila mencapai angka seramai 2.56 juta pelawat, melebihi sasaran asal yang ditetapkan sebanyak dua juta pelawat.
“Pencapaian cemerlang ini jelas menunjukkan minat dan sambutan masyarakat terhadap program-program yang telah dilaksanakan serta sifat sukarela penglibatan terhadap program bermutu dan berkualiti yang ditawarkan.
“Kejayaan ini adalah bukti jelas muzium kini semakin menjadi destinasi pilihan utama masyarakat,” katanya.