Hiburan

Bigo Live popularkan Eyya

DIKURNIAKAN seraut wajah yang manis dan berperwatakan riang sebenarnya memberikan rezeki berganda buat gadis yang dikenali dengan nama Eyya ini.

Siapa sangka sikap peramah dan suka menghiburkan orang sekeliling membuka langkah pertamanya dalam bidang seni bukan sahaja sebagai pelawak tetapi kini sebagai penyanyi menerusi lagu Hey Eyya.

Mula dikenali dengan pertandingan Gegar Lawak anjuran saluran Astro Warna sebelum ini, gadis berusia 23 tahun ini sebenarnya mula dikenali melalui aplikasi Bigo Live beberapa tahun yang lalu.

“Memang benar ramai yang mengenali saya melalui aplikasi tersebut. Walaupun ada yang menanggap popular dengan aplikasi memberi konotasi kurang manis, tapi ia tidak memberikan kesan.

“Apa yang penting saya mahu lagu ini diterima ramai kerana ia mudah didengar dan menghiburkan,” kata gadis kelahiran Sandakan, Sabah ini lagi.

Dek kerana sikap suka berjenaka dan menghiburkan pelayar laman berkenaan, dia akhirnya memberanikan diri menyertai uji bakat rancangan yang akhirnya mempopularkan dirinya itu.

Meskipun tidak berjaya mendapat tempat pertama, itu bukan penghalang kepada Eyya atau nama sebenarnya Nik Nur Amira Syahira Nik Zaini untuk menerobos industri seni tanah air dengan caranya sendiri.

Mendapat kepercayaan daripada Papa Jub Production Sdn. Bhd. yang percaya kepada bakat yang dimiliki membuatkan dia yakin lagu Hey Eyya mampu memberikan variasi baharu kepada industri seni tanah air.

“Lagu yang berentak pop dance cukup energetik dan dekat di hati serta ditambah dengan koloberasi bersama Bell Ngasri, saya yakin lagu tersebut akan menghiburkan sesiapa sahaja,” tambahnya.

Terdahulu bakat Eyya dihidu oleh Zamzoy yang percaya dia mampu pergi jauh di dalam bidang seni seperti artis popular yang lain sekiranya diberikan jalan yang betul.

Menariknya, Zamzoy bersama Juhana Asri bertindak selaku penulis lirik sudah melihat karektor Eyya dan lagu tersebut juga ditulis mengikut karektor dan keperibadian Eyya yang ‘happy go lucky’.

Mengenai pemilihan Bell pula, pihak pengurusan percaya keserasian antara mereka sudah wujud memandangkan masing-masing diberikan kepercayaan mengendalikan segmen Parodi MeleTop menerusi rancangan MeleTop.

Tidak mengambil masa yang panjang sepanjang rakaman, Eyya meskipun tidak pernah mengikuti mana-mana kelas vokal berjaya memberikan mutu rakaman yang baik seperti yang dikehendaki oleh penerbit.

Jelasnya, lagu pop dance tersebut membuatkan dia gembira dan tidak berhadapan dengan tekanan saat proses tersebut berlangsung.

Eyya sebelum ini pernah menyertai pertandingan Muzikal Lawak Superstar anjuran saluran Astro Warna membentuk sebuah kumpulan bersama Pinky dan Sharul Kamal. Turut bertanding termasuklah Bocey, Joey, Zero, Rahim dan ramai lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *