NasionalPolitik

Malaysia dapat apa?…PRK Kimanis…Positif dadah

SEJAK semalam, berita mengenai kejayaan Indonesia memeterai 11 perjanjian perniagaan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) bernilai 314.9 trilion rupiah (RM93.5 bilion) heboh diperkatakan.

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi memeterai perjanjian itu bersama Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Bin Zayed ketika lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Abu Dhabi.

Pelaburan yang cukup besar itu bagi memacu perekonomian Indonesia, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua pemimpin berkenaan turut membincangkan rancangan untuk menubuhkan sebuah dana kekayaan.

UAE boleh menggunakan dana tersebut untuk melabur dalam pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur selain pembangunan hartanah di Aceh.

Di sebalik laporan berita mengenai perjanjian perniagaan bernilai berbilion ringgit ini, di alam siber, warganet setiap saat membicarakan mengenainya.

Buka sahaja ruangan komen, ada yang mempersoalkan: “Malaysia dapat apa?”

Almaklumlah, baru-baru ini sebuah agensi penguat kuasa membuat pendedahan terbuka rakaman dipercayai perbualan antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Putera Mahkota berkenaan.

Pendedahan itu membuatkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan Wisma Putra telah mengambil tindakan proaktif bagi meminimakan sebarang isu yang mungkin timbul susulan pendedahan tersebut.

Sama ada pendedahan itu mempunyai kaitan dengan apa yang Indonesia dapatkan, mungkin secara kebetulan atau cara tidak langsung UAE untuk ‘mengajar’ Malaysia.

Biarlah UAE sendiri yang menjawabnya.

Daripada pandangan mata kasar rakyat kebanyakan, politik memainkan peranan segala-galanya.

Mata kasar rakyat kebanyakan juga memandang, dengan politik semasa negara yang tidak menentu, politik membalas dendam, mengata sana mengata sini, pelabur asing pun sudah boleh membuat congakan.

Seperkara lain, sudah beberapa kali pemimpin negara membuat kunjungan ke luar negara, hasil pelaburan?

Itu yang semakin hari dipersoalkan oleh rakyat.

PRK KIMANIS SIAPA JUARA?

SABTU ini, Parlimen Kimanis menjadi medan pilihan raya kecil (PRK) yang menyaksikan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Warisan.

Di pihak Pakatan Harapan (PH), mereka sudah tentu sedaya upaya mahu menang, selepas mengalami kekalahan teruk dalam PRK Tanjung Piai.

BN pula, menang itu wajib bagi menampakkan sisi pembangkang yang semakin ghairah memperoleh sokongan rakyat yang muak dengan pelbagai isu semasa.

Menariknya PRK kali ini, PH seakan mendapat tonik dengan pendedahan rakaman audio Najib itu.

Bagaimanapun, tonik itu semakin lemah apabila Pejabat Peguam Negara menegaskan tiada pertuduhan yang akan dibuat dalam kes video intim yang didakwa melibatkan seorang menteri.

Warung kedai kopi pun rancak mengata: “Video mencuri kedai emas, cepat je pesalah dapat ditangkap, video itu (intim), boleh kata tak dapat cam pelaku”.

Ah! Biarlah pihak berkuasa menjawabnya.

POSITIF DADAH

PETIKAN laporan Astro Awani: Diminta mengesahkan dakwaan salah seorang suspek yang ditahan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) seperti yang ditularkan dalam laman sosial, Abdul Hamid (Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador) enggan berbuat demikian.

Katanya, beliau hanya akan membuat pengumuman lain selepas ujian saringan air kencing kali kedua ke atas semua individu yang ditahan dibuat dalam masa terdekat.

“Saya tidak akan mendedahkan nama mereka, proses saringan kali kedua untuk pihak polis dan apabila hasilnya didapati positif, kita akan ambil tindakan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Mana yang betul, mana yang salah, biarlah Tan Sri menjawabnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *