
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak akan berkompromi jika mana-mana pihak didapati terlibat dengan kes pecah amanah atau salah tadbir Lembaga Tabung Haji (TH).
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika benar terdapat individu atau kumpulan terlibat menyeleweng dalam organisasi kerajaan dan badan berkanun, mereka perlu menerima hukuman.
“Maka akibatnya akan dihadapi mereka dan saya tidak fikir kita harus berkompromi jika unsur-unsur yang negatif itu dilakukan oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Dalam pada itu sesi persidangan khas untuk membahaskan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH akan diadakan pada 11 Ogos di Parlimen.
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
RCI itu menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020, juga mendapati wujud transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.





