
KAJANG: Polis mengesan waris seorang kanak-kanak lelaki yang ditemukan bersendirian di tepi Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) berhampiran AEON Cheras Selatan, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, identiti serta kewarganegaraan kanak-kanak itu masih belum dapat dipastikan kerana mangsa tidak boleh bercakap.
“Kanak-kanak itu tidak boleh bercakap menyebabkan kita belum dapat mengenal pasti identiti, nama mahupun sama ada dia merupakan warganegara atau warga asing.
“Bagaimanapun, keadaannya dilaporkan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan mengenai penemuan kanak-kanak itu pukul 4.30 petang semalam.
Katanya, kanak-kanak berkenaan dianggarkan berusia lapan tahun, namun nama, tarikh lahir dan keturunannya masih belum dikenal pasti.
“Kanak-kanak itu dianggarkan berketinggian 120 sentimeter dengan berat kira-kira 30 kilogram.
“Ketika ditemukan, dia memakai baju-T berwarna hitam putih serta seluar berwarna kelabu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai identiti atau waris kanak-kanak tersebut supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222.
Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Karunagaran Balan di talian 012-244 9414 bagi membantu usaha mengesan ahli keluarga kanak-kanak berkenaan.




