
JAKARTA: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine dan pil ekstasi yang disembunyikan pada badannya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Sidoarjo, baru-baru ini.
Suspek yang dikenali dengan inisial DI ditahan di Terminal 2 lapangan terbang berkenaan selepas tiba dengan penerbangan komersial dari Kuala Lumpur ke Surabaya.
Pihak berkuasa Indonesia dmerampas empat bungkusan mengandungi 990 gram methamphetamine serta empat lagi bungkusan berisi 1,089 pil ekstasi yang dipercayai disembunyikan di bawah korset yang dipakai suspek.
Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasairus Virzawan berkata, suspek dipercayai cuba menyembunyikan dadah tersebut bagi mengelak dikesan ketika pemeriksaan keselamatan.
“Suspek cuba menyembunyikan dadah di bawah korset yang dipakainya untuk mengelak daripada pemeriksaan, namun cubaan itu berjaya digagalkan,” katanya.
Menurut pihak berkuasa, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan mencecah 2.79 bilion rupiah (RM715,000) dan dipercayai mampu dibekalkan kepada lebih 6,500 pengguna.
Suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Polis Sidoarjo bagi tindakan lanjut, manakala siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Media Indonesia turut melaporkan suspek dipercayai menerima tawaran menjadi penghantar dadah kerana berdepan masalah kewangan serta mempunyai hutang.
Jika disabitkan kesalahan mengikut undang-undang Indonesia, suspek boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan lelaki terbabit berasal dari Johor.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di Malaysia.
“Lelaki itu berasal dari Johor. Bungkusan dadah tersebut dibalut dan dilekatkan pada badannya.
“Hasil semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, JSJN Bukit Aman akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kes itu menjadi perhatian kerana berlaku hanya beberapa hari selepas seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia bagi dakwaan cuba menyeludup sejumlah besar pil ekstasi ke negara berkenaan.




