
LAHAD DATU: Seorang pekerja stesen minyak dipenjara lapan bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah bagi empat pertuduhan menyalahgunakan nombor MyKad milik individu lain bagi mendapatkan subsidi BUDI MADANI Diesel.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek ditahan bersama dua rakan sekerjanya termasuk seorang wanita pada Jumaat lalu, namun kedua-dua mereka dijadikan saksi pendakwaan.
Menurut beliau, siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan daripada seorang mangsa yang mendapati kuota subsidi BUDI MADANI Diesel miliknya telah digunakan sebanyak empat kali membabitkan 43.01 liter tanpa pengetahuan dan kebenarannya.
“Hasil siasatan mendapati modus operandi suspek adalah dengan mencatat nombor MyKad pelanggan yang datang mengisi bahan api menggunakan bantuan subsidi BUDI MADANI Diesel.
“Suspek kemudian menggunakan kata laluan penyelia untuk memasukkan nombor MyKad berkenaan ke dalam sistem BUDI MADANI Diesel tanpa menggunakan kad fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nombor MyKad itu seterusnya digunakan bagi membolehkan pelanggan yang tidak layak menikmati pembelian diesel pada harga subsidi.
“Suspek memasukkan nombor MyKad milik individu lain bagi membolehkan pembelian diesel bersubsidi dan seterusnya memperoleh keuntungan secara tidak sah,” katanya.
Dzulbaharin menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika menyerahkan MyKad bagi urusan pembelian bahan api di stesen minyak selain segera membuat laporan polis sekiranya mengesan atau mempunyai maklumat mengenai sebarang penyalahgunaan subsidi BUDI MADANI Diesel.




