
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menjalin kolaborasi strategik bersama Thong Empire menerusi kempen Warisan Dalam Perpaduan Pada Setiap Suapan.
Kempen berkenaan diadakan bagi memperluaskan apresiasi masyarakat terhadap warisan negara melalui pendekatan kreatif yang lebih dekat dengan kehidupan seharian sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, inisiatif itu dilihat sebagai usaha memperkenalkan khazanah warisan negara kepada masyarakat, khususnya generasi muda, melalui medium yang lebih segar dan mudah didekati.
“Kolaborasi ini juga mencerminkan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society
yang menjadi amalan kerajaan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
“Agenda perpaduan tidak akan mencapai potensi sepenuhnya tanpa penyertaan sektor swasta sebagai rakan strategik kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Peluncuran Kolaborasi Strategik Jabatan Muzium Malaysia x Thong Empire: “Warisan Dalam Perpaduan Pada Setiap Suapan di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pemasaran, Thong Empire Sdn. Bhd., Tan See Yee dan Pengarah Muzium Negara, Zamrul Amri Zakaria

Haslina menambah, pemeliharaan warisan bukan lagi tanggungjawab institusi muzium semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama strategik pelbagai pihak bagi memastikan nilai sejarah dan identiti negara terus relevan dalam kehidupan masyarakat moden.
Kempen berkenaan menampilkan pin koleksi dengan enam motif tekstil tradisional iaitu Pucuk Rebung, Burung Phoenix, Burung Merak, Kuda, Nabau (Ular) dan Bunga Raya.
Bagi syiling emas edisi terhad pula mengetengahkan imej Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai lambang perpaduan serta kepelbagaian budaya negara.
Kolaborasi itu akan berlangsung mulai 3 Ogos hingga 27 September 2026 dalam dua fasa, iaitu fasa pertama membabitkan Muzium Tekstil Negara sempena Bulan Kebangsaan diikuti Muzium Negara sempena sambutan Hari Malaysia pada fasa kedua.




