
JITRA: Polis tidak menolak kemungkinan isu hutang berkaitan aktiviti bermain kutu menjadi antara faktor yang mendorong kehilangan tiga beranak dari kediaman mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam sejak 20 Julai lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya setakat ini menerima satu laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa kegiatan bermain kutu membabitkan wanita berkenaan.
Menurut beliau, usaha mengesan pasangan suami isteri bersama seorang anak mereka itu masih diteruskan selepas mereka dilaporkan tidak pulang ke rumah.
Beliau turut memaklumkan pemeriksaan awal mendapati tiada rekod pergerakan mereka ke luar negara setakat ini.
“Siasatan masih diteruskan sebagai ‘Orang Hilang’ dan polis meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya ternampak mereka.
“Siasatan dijalankan dari segala sudut, termasuk kemungkinan mereka menjadi mangsa perlakuan jenayah atau kemalangan,” katanya.
Sebelum ini, tiga beranak terbabit dilaporkan hilang dan gagal dihubungi selepas keluar dari rumah mereka di Taman Desa Bayanmas sejak 20 Julai lalu.
Susulan itu, bapa wanita terbabit yang berusia 62 tahun membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, semalam, selepas gagal mengesan anak perempuan, menantu serta cucunya itu.
Sebelum ini media melaporkan polis sedang mengesan tiga sekeluarga dari Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam yang dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu.
Laporan berhubung kehilangan pasangan suami isteri, Khairul Azhar Ahmad, 39, dan Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36, serta anak mereka, Adid, 9, dibuat bapa wanita terbabit berusia 62 tahun.




