
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lagi individu bagi membantu siasatan berhubung pendedahan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH).
Menurut Berita Harian, tiga lelaki yang ditahan ialah timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah yang merupakan anak syarikat kepada badan berkanun itu.
Kesemua mereka, yang berusia dalam lingkungan 50-an, disyaki terbabit dalam penyelewengan caj notis penalti (NOP) berjumlah kira-kira RM450,000.
Mereka ditahan pada kira-kira pukul 6 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM.
Difahamkan, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2017 hingga 2019.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan itu bagi siasatan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau turut mengesahkan ketiga-tiga mereka direman selama lima hari hingga 9 Ogos ini.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Dengan penahanan tiga suspek itu, SPRM hingga ini menahan lima individu berkaitan laporan RCI berkenaan.





