
PUTRAJAYA: Sekurangnya-kurangnya 35 hingga 40 Ahli Parlimen dijangka menyertai sesi perbahasan mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) pada Sidang Khas Parlimen, 11 Ogos ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah bersetuju supaya sidang khas itu diadakan secara berterusan tanpa waktu rehat.
“Pada ketika ini dianggarkan sekurang-kurangnya 35 hingga 40 orang Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahaskan isu tersebut,” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, orang ramai boleh mengikuti sidang khas itu menerusi siaran langsung di semua saluran media rasmi sepanjang persidangan berlangsung.
Dalam pada itu beliau berkata, Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada kontinjen Malaysia atas pencapaian cemerlang pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026, baru-baru ini.
Tambah beliau, kejayaan itu bukan sahaja membanggakan rakyat Malaysia, malah diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet negara untuk terus mencipta kecemerlangan pada kejohanan sukan akan datang.







