
KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap ekonomi digital serantau apabila dipilih sebagai negara pertama menganjurkan AI Vision Forum 2026.
Ia sekali gus mencerminkan keyakinan pemain teknologi antarabangsa terhadap keupayaan negara muncul sebagai hab kecerdasan buatan (AI) perusahaan di ASEAN.
Pemilihan itu dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap perkembangan pesat ekosistem digital negara yang kini dipacu pelaburan dalam pusat data, pembangunan infrastruktur digital serta dasar kerajaan yang memberi penekanan kepada transformasi teknologi.
Forum anjuran Dimennet Sdn. Bhd. tersebut menghimpunkan lebih 150 pemimpin industri, pembuat keputusan korporat, pelabur dan penyedia teknologi AI dari dalam serta luar negara bagi membincangkan hala tuju teknologi berkenaan khususnya penggunaan Agentic AI dalam mempercepat transformasi digital perusahaan.
Ketua Pegawai Eksekutif A3SEO yang mewakili Dimennet, Isaac Liu berkata, Malaysia dipilih sebagai lokasi sulung kerana memiliki semua prasyarat untuk berkembang sebagai hab AI perusahaan termasuk pembangunan pesat pusat data, infrastruktur digital yang semakin matang dan sokongan berterusan kerajaan terhadap agenda ekonomi digital.
“Malaysia mempunyai semua asas yang diperlukan untuk muncul sebagai hab AI perusahaan di rantau ini.
“Dengan pembangunan pusat data, infrastruktur digital yang semakin kukuh serta sokongan berterusan daripada kerajaan, kami percaya negara ini berada pada kedudukan yang tepat untuk menerajui transformasi AI di ASEAN.
“Berikutan itu, Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran AI Vision Forum sebelum kami membawanya ke negara-negara lain,” katanya.

Beliau berkata, kelebihan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan bahasa turut membuka ruang kepada pembangunan penyelesaian AI yang lebih inklusif serta mampu memenuhi keperluan pelbagai pasaran di rantau ini.
Menurut Isaac, AI Vision Forum diwujudkan bukan sekadar menjadi pentas memperkenalkan teknologi terkini malah memainkan peranan membantu organisasi memahami bagaimana AI boleh diterapkan secara praktikal bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing.
“Ramai pemilik perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyedari kepentingan AI namun masih berdepan cabaran memilih penyelesaian yang benar-benar sesuai dengan keperluan operasi masing-masing.
“Sebanyak enam platform Agentic AI dipamerkan sepanjang forum berkenaan iaitu A3SEO, R2Y², RedSparks, CoASSIST, INF dan Duck Reels yang menawarkan penyelesaian merangkumi automasi operasi, analitik data, pengoptimuman carian AI, tadbir urus AI serta pembangunan kandungan kreatif,” ujarnya.
Beliau menambah, forum itu turut mendapat sokongan beberapa syarikat teknologi global termasuk Oracle, Tencent Cloud, Cloudflare, Alibaba Cloud, BytePlus dan OceanBase sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform strategik yang menghimpunkan pemain utama dalam ekosistem AI dunia.
“Saya berharap forum ini menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara penyedia teknologi, perusahaan, pelabur dan pemain industri dalam mempercepat penggunaan AI secara meluas sekali gus memperkukuhkan aspirasi Malaysia sebagai hab AI perusahaan dan ekonomi digital terkemuka di ASEAN,” katanya.





