
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa pihak berkuasa menyiarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pemeriksaan keselamatan yang dijalankan ke atas seorang juruterbang Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum suspek ditahan di Indonesia kerana didakwa cuba menyeludup dadah.
Katanya, pendedahan rakaman itu penting bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan di KLIA selain menjelaskan sama ada semua prosedur pemeriksaan dipatuhi sepenuhnya.
Gesaan itu dibuat susulan tindakan pihak berkuasa Indonesia menyiarkan rakaman CCTV yang memaparkan juruterbang berkenaan menjalani pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada 29 Julai lalu.
Juruterbang berusia 39 tahun itu kemudian ditahan selepas pihak berkuasa negara berkenaan mendakwa menemui dadah yang disembunyikan di dalam bagasinya.
Menurut Lip Eng, rakaman CCTV di KLIA perlu didedahkan kepada umum secara penuh dan tanpa sebarang suntingan yang boleh mengubah konteks kejadian.
“Jika semua prosedur keselamatan dipatuhi dengan sempurna, tiada sebab rakaman CCTV yang menunjukkan suspek menjalani pemeriksaan serta bagasinya diimbas di KLIA tidak boleh didedahkan kepada umum.
“Mana-mana bahagian yang sensitif boleh dikaburkan tanpa menyembunyikan keseluruhan proses pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, langkah itu akan membolehkan orang ramai menilai sendiri keberkesanan proses pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang berkenaan.
“Ketelusan akan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keselamatan KLIA. Dedahkan rakaman itu dan biarkan orang ramai melihat serta menilai sendiri,” katanya.
Lip Eng berkata, orang ramai tidak seharusnya hanya bergantung kepada jaminan rasmi semata-mata kerana rakaman CCTV merupakan bukti paling jelas untuk menunjukkan bagaimana pemeriksaan dijalankan dan sama ada prosedur keselamatan dipatuhi.
Jumaat lalu, media melaporkan juruterbang terbabit ditahan selepas pihak berkuasa Indonesia mendakwa menemui 15 bungkusan mengandungi lebih 70,000 pil ekstasi serta 2.7 gram methamphetamine yang disorokkan di dalam bagasinya.
Pihak berkuasa Indonesia turut mendakwa suspek mengaku dijanjikan bayaran sebanyak RM50,000 bagi membawa masuk dadah berkenaan ke Jakarta.
Setakat ini, pihak berkuasa Malaysia belum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung dakwaan berkenaan, manakala siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa Indonesia.





