
KUALA LUMPUR: Pemberi perkhidmatan media sosial berlesen kini diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad atau pasport bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar serta memiliki akaun di platform masing-masing.
Kementerian Komunikasi berkata, ketetapan itu dilaksanakan menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu sebagai usaha memperkukuh perlindungan terhadap pengguna bawah umur di ruang digital.
Menurut kementerian, proses pengesahan umur hendaklah dibuat menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, sijil kelahiran atau dokumen lain yang diiktiraf.
“Bagi memastikan pematuhan terhadap CPC, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memantau pelaksanaannya oleh semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen.
“MCMC turut mengeluarkan notis bertulis di bawah Subseksyen 30(2) Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) kepada penyedia perkhidmatan media sosial bagi mendapatkan penjelasan berhubung ketidakpatuhan serta langkah yang diambil untuk melaksanakan mekanisme pengesahan umur,” menurut jawapan bertulis kementerian yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Menurut kementerian, di bawah Akta 866, mana-mana pemberi perkhidmatan berlesen yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta serta denda tambahan sehingga RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.
MCMC juga mempunyai kuasa mengeluarkan Notis Ketidakpatuhan dan mengenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta mengikut peruntukan akta berkenaan.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai keberkesanan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan CPC dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman buli siber, eksploitasi seksual, kandungan berbahaya serta ketagihan media sosial.
Kementerian memaklumkan sebanyak 292,102 permohonan penurunan kandungan penipuan dalam talian (scam) dan akaun palsu dikemukakan MCMC bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Julai 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 279,875 kandungan atau 96 peratus berjaya diturunkan.
Bagi kandungan berkaitan iklan, produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan pula, sebanyak 20,114 permohonan dikemukakan dengan 17,285 kandungan atau 86 peratus telah diturunkan.
Dalam tempoh sama, sebanyak 17,418 laman sesawang disekat, melibatkan 5,103 kes di bawah bidang kuasa MCMC, manakala 12,315 lagi berada di bawah bidang kuasa agensi berkaitan.
“Tindakan penurunan kandungan, sekatan akaun dan sekatan laman sesawang dilaksanakan berdasarkan penilaian terhadap aduan yang diterima, garis panduan komuniti platform serta undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” menurut kementerian.
Jawapan itu turut menjelaskan MCMC mengemukakan 14,169 permohonan penurunan kandungan berunsur 3R membabitkan isu kaum, agama dan institusi diraja bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2026.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,750 kandungan atau 62 peratus telah diturunkan berdasarkan aduan awam, garis panduan komuniti platform dan peruntukan undang-undang tempatan.
Sepanjang tempoh sama, MCMC turut menjalankan siasatan terhadap 462 kes di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan isu 3R.
Daripada jumlah itu, 22 kes didakwa di mahkamah, dengan 16 kes selesai diputuskan manakala enam lagi masih dalam prosiding.
Kementerian Komunikasi turut menjelaskan perkara itu sebagai menjawab pertanyaan Senator Musoddak Ahmad berhubung tanggungjawab platform media sosial berlesen terhadap iklan berbayar yang menipu pengguna serta tindakan pemadaman kandungan, sekatan akaun dan perkongsian maklumat pengiklan kepada pihak berkuasa.
Kementerian turut menjawab soalan Senator Mohd. Hasbie Muda berhubung tindakan terhadap individu yang berulang kali menyalahgunakan platform digital bagi mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau menghasut masyarakat.







