
KUALA LUMPUR: Sebanyak 46 kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal direkodkan sepanjang empat hari penganjuran Program RXZ Members 8.0, termasuk 11 kemalangan maut.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, statistik itu direkodkan bagi tempoh 30 Julai hingga 2 Ogos lalu.
Menurutnya, daripada keseluruhan kemalangan yang direkodkan, 11 kes atau 23.91 peratus merupakan kemalangan maut, lima kes (10.87 peratus) membabitkan kecederaan parah, manakala 30 kes lagi (65.22 peratus) adalah kemalangan ringan.
“Mengikut pecahan harian, empat kes direkodkan pada 30 Julai, diikuti 16 kes pada 31 Julai, 11 kes pada 1 Ogos dan 15 kes pada 2 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, analisis mengikut kumpulan umur mendapati golongan berusia antara 21 hingga 30 tahun mencatatkan jumlah penglibatan tertinggi iaitu 19 orang atau 41.30 peratus.
Katanya, ia diikuti kumpulan umur 18 hingga 20 tahun melibatkan 10 orang, 41 hingga 50 tahun (sembilan orang) dan 31 hingga 40 tahun (lapan orang).
“Dari segi jantina pula, majoriti mangsa ialah lelaki iaitu seramai 44 orang atau 95.65 peratus, manakala dua lagi mangsa adalah wanita,” katanya.
Muhammed Hasbullah berkata, kemalangan jenis langgar belakang merekodkan jumlah tertinggi iaitu 21 kes, diikuti terbabas sendiri (15 kes), langgar sebelah tepi (tujuh kes) dan bergesel (tiga kes).
Beliau berkata, kesemua 11 kemalangan maut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala lima kes kemalangan parah disiasat mengikut Seksyen 43(1) akta sama.
Sementara itu, kemalangan ringan pula disiasat mengikut peruntukan kaedah-kaedah lalu lintas yang berkaitan.
Menurut beliau, JSPT memandang serius peningkatan kemalangan maut dan kecederaan parah, khususnya melibatkan penunggang motosikal muda.
Katanya, siasatan awal mendapati antara faktor utama kemalangan ialah kecuaian penunggang, gagal mengawal motosikal, mengekori kenderaan terlalu rapat serta menunggang secara berbahaya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penganjur program bermotosikal menyediakan pelan pergerakan yang lebih tersusun, mengadakan taklimat keselamatan kepada peserta serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“JSPT akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
“Jangan jadikan keseronokan dan keterujaan menyertai sesuatu program sebagai alasan untuk mengabaikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.





