
SHAH ALAM: Peningkatan permintaan dadah, khususnya bunga ganja di benua Eropah dipercayai antara punca lonjakan aktiviti penyeludupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bunga ganja mendapat permintaan besar sejak penghujung tahun lepas hingga sekarang atas beberapa faktor.
“Permintaan besar itu atas kemungkinan digunakan dalam perubatan serta diekstrak menjadi cecair untuk rokok elektronik dan sebagainya.
“Kita juga mengenal pasti bekalan dadah ini bukan dari Malaysia tetapi diperoleh dari negara jiran dan dibawa masuk dari Utara melalui laluan laut atau darat dengan 80 peratus daripadanya dibawa keluar untuk pasaran negara jiran dan Eropah,” katanya pada sidang media kejayaan JSJN Selangor di sini hari ini.
Hussein berkata bagi tempoh Januari hingga Julai lepas, penguatkuasaan jenayah dadah di KLIA mencatatkan sebanyak 108 kes berbanding 54 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas.
Beliau berkata jumlah berat dadah dirampas juga meningkat enam kali ganda, iaitu daripada 235.36 kilogram yang bernilai RM18.46 juta pada 2025 kepada 1.35 tan bernilai RM108.35 juta setakat ini.
Selain itu, jumlah tangkapan yang turut membabitkan warga asing kerana disyaki terlibat penyeludupan atau pengedaran dadah melalui KLIA meningkat kepada 121 individu berbanding 57 individu pada 2025.
Hussein berkata, tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan selari dengan lonjakan aktiviti jenayah itu menerusi kerjasama strategik serta komitmen berterusan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Beliau berkata pihaknya kini bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) serta agensi berkaitan bagi memantapkan penguatkuasaan di lapangan terbang untuk membanteras jenayah penyeludupan dan pengedaran dadah.





