
PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan dan Sarawak kini memberi fokus dalam mencari langkah terbaik membabitkan isu Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, rundingan itu akan memberi situasi ‘menang-menang’ membabitkan semua pihak dan tidak menyentuh sebarang rangka kerja perlembagaan atau perundangan sedia ada.
Katanya, rundingan itu turut melibatkan Peguam Negara, Peguam Besar Negeri Sarawak, pihak Petronas, Petros dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
“Perundingan ini dijalankan secara berterusan dan tidak melibatkan sebarang pindaan kepada Perlembagaan atau undang-undang sedia ada.
“Jika ia membabitkan soal undang-undang, penyelesaian hanya boleh dicapai menerusi mahkamah. Namun pendekatan kita kini adalah untuk mencari jalan penyelesaian yang boleh diterima semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar Minggu ADR 2025 dan Persidangan Tuntutan Pembinaan ADR Sabah dan Sarawak 2025.
Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, Kerajaan Sarawak mengeluarkan surat tuntutan kepada anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) atas dakwaan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas 2016.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa loji kendalian PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) beroperasi tanpa permit sah melibatkan aktiviti pembinaan, penyelenggaraan serta pengurusan saluran paip dan peralatan gas asli.
Petronas turut mengesahkan PCSB menerima notis daripada kementerian tersebut pada 30 April lalu berhubung isu pemprosesan dan pengedaran gas.
Dalam perkembangan sama, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan, rundingan antara Petronas dan Petros tidak menjejaskan rundingan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Isu Petronas dan Petros adalah perkara berasingan. Rundingan MA63 berjalan seperti biasa dan banyak perkara telah serta sedang diselesaikan secara berperingkat,” katanya.




