Hiburan

Cerita ‘Kain Kapan’ Fizz Fairuz

Oleh SMSM

TIDAK sekadar aktiviti bersukan semata-mata, apa yang dilakukan oleh Datuk Fizz Fairuz bersama rakan artis dan beberapa individu lain merupakan sesuatu yang sangat murni dalam membantu mereka yang memerlukan.

Bagi pelakon ini, kehidupan kita tidak seharusnya meletakkan sasaran kepada sikap individualistik tetapi perlu hidup dan saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Melalui kelab bola sepak RMC FC yang diwakilinya, mereka telah mengadakan perlawanan persahabatan amal dengan pasukan Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah dan VVE Public Mutual Founder Shahboyy baru-baru ini.

FIZZ FAIRUZ berbangga apabila Tengku Fahd Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah sudi mencemar duli beraksi dalam perlawan persahabatan sekali gus menyampaikan sumbangan untuk program Kain Kapan.

Tidak sekadar mahu mengeratkan silaturahim di antara mereka, acara perlawanan persahabatan itu juga bertujuan mengumpul dana dan membantu mereka yang memerlukan.

“Melalui program ‘Kain Kapan’ kami bekerjasama dengan banyak pihak termasuk Pusat Zakat bagi menyalurkan bantuan.

“Kami tidak sekadar bermain tetapi turut sama mengumpul dana kerana percaya masih ramai pihak di luar sana yang hidup dalam kesempitan dan memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Mengharapkan lebih banyak penyertaan daripada agensi kerajaan dan pihak swasta untuk sama-sama membantu, Fizz dan pasukannya bersedia turun padang mengadakan perlawanan amal bagi mengumpul dana.

Menerusi dua perlawanan sebelum ini, dia berbangga apabila mendapat sokongan daripada pelbagai pihak pihak termasuk pelakon Zain Saidin, Aman Naseem dan bekas pemain import Pahang, Dickson Nwakaeme.

DICKSON NWAKAEME (kanan) turut hadir memberikan sokongan bagi mengumpulkan dana melalui program ‘Kain Kapan’.

“Saya juga berharap ada pasukan di luar sana yang sudi bermain dengan kami seterusnya membuat amal untuk pihak lain. Kalau ada yang berminat, boleh hubungi saya,” tambahnya.

Ceritera difahamkan program ‘Kain Kapan’ adalah nama yang digunakan bagi menggerakkan dana bantuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *