
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan supaya lebih peka terhadap suara rakyat dalam menentukan dasar kerajaan.
Tegas beliau, UMNO bersama Barisan Nasional (BN), kepimpinan Pas serta rakyat mahukan pendekatan yang lebih baik, khususnya dalam menangani isu berkaitan kehidupan dan ekonomi rakyat.
“Cukup-cukuplah guru, dengarlah suara rakyat.
“Guru, cukup-cukuplah guru, dengarlah suara kami, guru. Dengarlah suara rakyat wahai guru, cukup-cukuplah. Insya-Allah kami boleh buat yang lagi baik dari yang guru buat.
“Ini bukan suara UMNO, ini juga suara seluruh parti BN, seluruh ahli kepimpinan Pas, seluruh rakyat. Guru dengarlah guru, jangan butakan mata, jangan tulikan telinga, cukup-cukuplah,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini.
Ahmad Zahid berkata, teguran tersebut bukan bertujuan mengapi-apikan keadaan, sebaliknya bagi memastikan keresahan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat tidak terus berlarutan.
“Saya bukan mahu mengapi-apikan. Tetapi kita tidak mahu menimbulkan keresahan. Kita tidak mahu menimbulkan kegelisahan apatah lagi kekeliruan yang tidak berkesudahan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata UMNO berhasrat membina negara sejahtera dengan memastikan setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna selepas memenuhi keperluan asas.
Menurutnya, lebihan pendapatan itu penting supaya rakyat mempunyai ruang untuk membuat simpanan, pelaburan serta menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Oleh itu guru, kita berhasrat untuk membina negara sejahtera untuk menyasarkan setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna selepas memenuhi keperluan asas bagi menyimpan dan melabur serta menikmati kehidupan,” katanya.





