
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan 25 Oktober ini sebagai Hari Kelepasan Am (Cuti Peristiwa) bagi seluruh negeri sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, berikutan tarikh berkenaan jatuh pada Ahad, 26 Oktober ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian.
Katanya, pemberian cuti berkenaan bertujuan memberi peluang kepada rakyat Selangor bersama-sama memeriahkan sambutan bersejarah sempena 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin.
“Kerajaan negeri Selangor mengumumkan cuti peristiwa ini bagi menyemarakkan lagi keraian bersejarah ini bersama rakyat.
“Sebanyak 20 program dan majlis rasmi dijadualkan berlangsung bermula 28 September hingga 1 November ini sebagai tanda taat setia, penghormatan dan rasa kesyukuran seluruh pentadbiran serta rakyat jelata di bawah naungan pemerintahan baginda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Fadzli, kesemua program yang disusun sudah dipersembahkan kepada Sultan Selangor dan merangkumi pelbagai aspek termasuk kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur dan sukan.
Katanya, keseluruhan sambutan turut mengambil kira titah Sultan Selangor supaya ia dilaksanakan secara sederhana, berhemah dan berimpak tinggi tanpa sebarang pembaziran.
“Bagi menzahirkan prinsip tadbir urus berhemah, kerajaan negeri menjunjung penuh titah Sultan Selangor agar keseluruhan sambutan ini dilaksanakan secara sederhana, berhemah dan berimpak tinggi tanpa sebarang pembaziran,” katanya.
Ahmad Fadzli berkata, acara kemuncak sambutan akan berlangsung pada 25 Oktober, bersempena genap 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin, dengan tiga istiadat utama dijadualkan berlangsung.
Antaranya termasuk Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama yang disertai 21 das tembakan, selain program kerohanian seperti Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat serta Multaqa dan Forum Perdana Ehwal Islam.
Turut dijadualkan ialah program warisan dan dokumentasi sejarah membabitkan Majlis Pelancaran Sampul Surat dan Setem Khas, Duit Syiling Peringatan serta pelancaran buku Menjulang Takhta.
Rangkaian sambutan Jubli Perak itu dijadual melabuhkan tirai pada 1 November menerusi Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.







