
TEMERLOH: Seorang pemandu lori didakwa membunuh empat individu termasuk sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka berusia empat tahun dalam nahas membabitkan 11 kenderaan di Kilometer (KM) 110.3, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), 31 Ogos lalu.
Zulkarnain Md Noh, 52, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Muhammad Nazatullah Nazmi, 32; isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan; anak mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4; serta Seow Beng Wai, 55.
Pertuduhan terhadap Zulkarnain dibacakan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini, hari ini, di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Zulkarnain didakwa membunuh keempat-empat mangsa di KM110.3 LPT arah timur, dalam daerah Temerloh, pukul 10.30 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau dipenjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Najimi Arif Nasarudin dan Anis Syakilla Zawawi.
Mahkamah menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes.





