
KUCHING: Lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Selasa lalu, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan melecur teruk.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, proses bedah siasat ke atas kesemua mangsa selesai pada pukul 7.30 malam tadi.
Menurutnya, bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Miri.
“Buat masa ini, kita menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan secara saintifik,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Dalam kejadian Selasa lalu, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), kira-kira 929 kilometer dari Kuching.
Kesemua mangsa yang terkorban ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Nahas itu berlaku ketika helikopter berkenaan menjalankan tugas perkhidmatan doktor udara bagi membawa pasukan perubatan ke kawasan pedalaman.





