
SEREMBAN: Seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah bagi lima pertuduhan menghantar gambar dan video lucah bekas isterinya kepada suami wanita berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.
Hakim Shahrul Rizal Majid mengenakan hukuman itu terhadap Mohd Suhaimi Yusof, 50, selepas tertuduh mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya.
Mahkamah menetapkan denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan komunikasi secara tidak wajar dengan menghantar tiga keping gambar dan dua rakaman video berunsur lucah kepada seorang lelaki dengan niat mengganggunya.
Kesalahan itu dilakukan pada 22 Mac 2023 di sebuah premis di Mantin, dekat sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, pengadu menerima beberapa keping gambar dan rakaman video berunsur lucah daripada tertuduh yang sebelum ini merupakan suami kepada isterinya.
Kandungan berkenaan memaparkan isteri pengadu sehingga menyebabkan lelaki itu berasa tertekan dan terganggu sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Mohd Suhaimi yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan rayuan untuk meringankan hukuman.
Sebaliknya, dia memberitahu mahkamah bersedia menerima hukuman penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Tertuduh berkata dia kini bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai empat anak, tiga daripadanya masih bersekolah serta berada di bawah jagaan bekas isterinya.
Dia turut memberitahu mahkamah perbuatannya itu dilakukan kerana marah selepas mendakwa dirinya ditipu.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Shahrul Rizal menasihati tertuduh supaya tidak bertindak mengikut emosi dan memikirkan terlebih dahulu kesan daripada setiap perbuatannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah/Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohamad Farhan Kamarudin.




