
KUALA LUMPUR: UMNO menghormati sepenuhnya keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, selain terus menjunjung tinggi institusi Raja-Raja Melayu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menyerahkan perkara berkenaan kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda alam menentukan keputusan terbaik.
“Bagaimanapun, kami tetap menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan kami merayu agar gunakanlah seluruh kebijaksanaan dan daulat Tuanku untuk membuat keputusan yang terbaik.
“Kami tetap mendukung institusi Raja-Raja, kami tetap mendaulatkan Raja-Raja dan kami mengharapkan sesuatu yang terbaik yang akan diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya permohonan pengampunan Datuk Seri Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hari ini.
“Pada mesyuarat sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan membebaskan 65 banduan.
“Semua banduan bukan warganegara yang dibebaskan hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas pembebasan,” menurut kenyataan itu.





