
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan membebaskan 65 banduan hari ini, termasuk banduan bukan warganegara yang hendaklah diusir pulang ke negara asal masing-masing dalam tempoh enam bulan.
Baginda turut berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang akan diadakan kelak.
Keputusan itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat hari ini.
Beliau turut mengesahkan menjadi antara individu dipanggil untuk menghadiri mesyuarat terbabit, bagaimanapun enggan memperincikan maklumat lanjut berhubung agenda yang disenaraikan.





