
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini genap berusia 100 tahun, satu pencapaian bersejarah bagi badan induk bola sepak negara yang telah melalui pelbagai era dan transformasi, sebelum membuka lembaran baharu dengan barisan kepimpinan bakal dipilih tidak lama lagi.
FAM dalam kenyataan memaklumkan, persatuan itu pada asalnya ditubuhkan sebagai Malayan Football Association (MFA) pada 11 Sept 1926 menerusi satu persidangan di Padang Kelab Selangor, yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka, melibatkan Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Singapura.
Penubuhan MFA dibuat selepas melihat keperluan mewujudkan satu badan pengawal selia aktiviti bola sepak di Persekutuan Tanah Melayu, memandangkan jawatankuasa penganjuran Piala HMS Malaya yang diperkenalkan pada 1921 hanya bertanggungjawab mengendalikan pertandingan berkenaan.
John Middleton Sime dipilih sebagai presiden pertama MFA pada 11 Sept 1926 sebelum nama badan itu ditukar kepada Football Association of Malaya (FAM) pada 1932, dengan Sir Andrew Caldecott dilantik sebagai presiden dan W.W Dean sebagai setiausaha kehormat.
Sepanjang perjalanannya, FAM menyaksikan beberapa perubahan penting termasuk pemindahan ibu pejabat dari Singapura ke Kuala Lumpur pada 1940, pelantikan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai warga tempatan pertama menerajui FAM pada 1951 serta penamaan semula secara rasmi sebagai Persatuan Bolasepak Malaysia pada 1964 sejajar pembentukan Persekutuan Malaysia.
Era kegemilangan Harimau Malaya turut mewarnai sejarah FAM apabila Malaysia layak ke Sukan Olimpik Munich 1972, memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974, layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC 1976 dan Sukan Olimpik Moscow 1980, selain layak ke Piala Asia AFC 1980.
FAM kemudian melalui perkembangan bola sepak domestik termasuk pelancaran Liga semi-pro pada 1989 yang kemudiannya bertukar status kepada liga profesional pada 1994, pengenalan Liga Super pada 2004 serta menjadi antara empat negara hos Piala Asia AFC 2007.
Kebangkitan Harimau Malaya pada era milenium turut menjadi antara detik penting apabila skuad B-23 negara menamatkan kemarau panjang dengan merangkul pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan mempertahankannya di Jakarta pada 2011, manakala skuad senior menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama di Jakarta pada 2010.
Dari segi kepimpinan, peralihan tampuk FAM terus berlaku apabila Almarhum Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatan presiden selepas 30 tahun pada 2014, diikuti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum Tan Sri Hamidin Mohd Amin dipilih pada 2018 sebagai presiden pertama dalam kalangan rakyat marhaen untuk menerajui FAM selama dua penggal sehingga Februari 2025.
Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub kemudian dipilih sebagai Presiden FAM kelapan sejak 1951 pada 15 Feb 2025, namun meletak jawatan selepas enam bulan sebelum Jawatankuasa Eksekutif FAM menamakan Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebagai Pemangku Presiden pada 27 Ogos 2025 sehingga kongres tahunan 2026.
Bagaimanapun, pada 28 Jan 2026, Mohd Yusoff mengumumkan bahawa kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 secara kolektif dan sukarela meletak jawatan serta-merta berikutan isu melanda FAM ketika itu, sekali gus menyaksikan pentadbiran badan induk berkenaan diambil alih sementara oleh sekretariat yang diketuai Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman.
Dengan FAM kini genap satu abad penubuhannya, tumpuan seterusnya terarah kepada Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 pada 17 Sept ini bagi memilih Ahli Jawatankuasa Eksekutif baharu untuk baki penggal 2025-2029, dengan kehadiran kepimpinan baharu diharap mampu memacu FAM ke arah lebih cemerlang seiring kematangan usia persatuan itu. – BERNAMA







