KUALA LUMPUR: Tuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menderhaka terhadap institusi diraja disifatkan sebagai satu fitnah jahat dan tidak berasas, menurut Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC).

BBC dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, Anwar telah mengesahkan kewujudan titah Tuanku Sultan Pahang berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, beliau (Anwar) menjelaskan bahawa titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya dan urusan berkaitan titah adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC), bukan di bawah tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri.
“Menyatakan fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan. Tuduhan ini adalah taktik lama pembangkang untuk mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen institusi diraja demi kepentingan politik mereka sendiri.
“Ini adalah satu cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat,” menurut kenyataan itu.
BBC menegaskan, dakwaan bahawa pelabur tidak akan masuk ke negara ini kerana kononnya berlaku penderhakaan adalah tidak berasas.
“Keputusan pelabur bergantung kepada kestabilan ekonomi, polisi mesra pelabur dan keyakinan terhadap kepimpinan negara, bukannya fitnah politik yang tidak berlandaskan realiti,” katanya.
Tegasnya lagi, fitnah sebegini bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik tetapi juga boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.
“Ketua Pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, bukan menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata,” katanya.
Sehubungan itu, BBC menegaskan Perdana Menteri sentiasa menunjukkan penghormatan tinggi terhadap institusi diraja dan berpegang kepada prinsip Raja Berperlembagaan.
Katanya, segala tindakan kerajaan sentiasa selari dengan peruntukan Perlembagaan dan mengutamakan kepentingan negara.
Tambahya, tuduhan Ketua Pembangkang adalah tidak benar dan hanya bertujuan menghasut rakyat.
“Rakyat perlu menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara,” katanya.