
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan kenaikan kadar tarif elektrik yang akan berkuat kuasa pada Julai ini hanya membabitkan industri dan ia akan berlaku mengikut kaedah Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).
Malah Anwar, ia tidak akan menjejaskan 85 peratus rakyat.
“”Dengar betul-betul. Ini (merujuk kenyataan berhubung kerajaan bertindak secara ‘flip flop’ kerana) dengar dengan sentimen marah. Ini penyakit marah, bukan penyakit fakta ekonomi,”
“Saya nak jelaskan sini, ini kenyataannya. Apa yang disebut oleh TNB (Tenaga Nasional Berhad) secara umum, saya tegaskan semula bahawa kenaikan kadar elektrik untuk industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT mulai Julai, namun ia tidak akan membebankan pemain industri.
“85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Dewan Rakyat, di sini.
Mengulas mengenai kenyataan beliau berhubung kenaikan tarif industri ketika satu majlis semalam, Anwar menegaskan kadar kenaikan dinyatakan sebagai maklum balas ucapan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng.
“Saya beri maklum balas (mengenai kenaikan tarif elektrik) kepada permohonan beliau (Yih Pyng), faham, bukan (maklum balas) kepada negara, bukan kepada rakyat.
“Saya kata kenaikan itu pun tidak sampai 14 peratus seperti diumumkan, maknanya saya respon kepada industri kerana kenaikan tarif ini kepada industri dan golongan maha kaya.
“Kita pertahankan (pendirian) ini, apa dia (pandangannya), kalau tidak (dikenakan) cukai pada orang kaya, nak tambah peruntukan untuk sekolah, hospital dari mana wangnya.
“Jadi kita kena terima kenyataan, kenaikan tarif yang munasabah bagi industri dan golongan kaya dan saya kata, kita tidak tolak ansur dan terpaksa naikkan tetapi tidak membabitkan 85 peratus rakyat,” katanya.