KUALA LUMPUR: Tujuh akta diluluskan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam Mesyuarat Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 yang berlangsung pada 14 Oktober hingga 12 Disember lepas.
Perkara itu dumaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum memulakan Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Ia melibatkan Akta Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025), Akta Kewangan 2024, Akta Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2024 dan Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2024.
Selain itu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024, Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan Akta Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024.
Selain itu, Johari turut memberitahu telah menerima perutusan daripada Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berhubung 26 rang undang-undang (RUU) untuk pindaan akta diluluskan tanpa pindaan dalam persidangan Dewan Negara yang lepas.
“Antara RUU tersebut ialah RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024, RUU Syarikat Labuan (Pindaan) 2024 dan RUU Amanah Labuan (Pindaan) 2024.
“Turut diluluskan RUU Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2024 serta RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Perkongsian Data 2024,” katanya.







