
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd berkuat kuasa 24 Januari lepas.
Pesuruhjaya Pelancongan MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, tindakan tersebut selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
“Kementerian ini memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusaha pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, MOTAC menggantung lesen syarikat berkenaan bermula 9 Julai 2024 hingga 19 Januari 2025.
Penggantungan lesen syarikat itu selaras dengan Akta 482, menerusi kenyataan pada 8 November lalu.
Kenyataan itu memaklumkan dalam tempoh penggantungan lesen berkuat kuasa, syarikat tidak boleh mengurusniagakan apa-apa perniagaan baharu.
Dilaporkan syarikat terbabit terpalit dengan kes penipuan umrah dan setakat ini, kebanyakan mangsa masih menunggu untuk mendapatkan pampasan mereka.