
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa syukur melihat perkembangan ekonomi negara yang bertambah baik selain nilai ringgit yang kembali kukuh.
Baginda ketika bertitah, perkembangan itu dapat dilihat dalam prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik.
“Nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah. Pada tahun lalu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama.
“Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kerajaan atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan ini serta berharap ia terus dipertingkatkan.
“Namun, kerajaan hendaklah menentukan supaya prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu saja,” titah baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Sultan Ibrahim mahu hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara dengan kerajaan mengambil tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan.
“Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara, walaupun hanya
seketul batu karang di tengah lautan,” titah baginda.