
KUALA LUMPUR: Reaksi serta beberapa pandangan yang bercanggahan mengenai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu membangunkan semula Semenanjung Gaza disifatkan sebagai kurang tidak cerdik dan mencerminkan kejahilan moral.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, Malaysia tidak boleh dan tidak akan menjadi penonton dalam sejarah, sebaliknya negara ini sudah lama menentang segala bentuk kezaliman dan penindasan.
Muhammad Kamil berkata, Malaysia tidak akan berhenti untuk terus membantu hanya disebabkan ada segelintir pihak yang ‘kurang cakna dan terlalu jauh untuk peduli’.
“Adakah kita hanya perlu bersuara dan berjuang untuk keadilan jika ia berlaku dalam negara sahaja? Jika itu logiknya, maka kita tidak sepatutnya mengutuk keras kezaliman apartheid di Afrika Selatan dahulu.
“Jika itu hujahnya, maka kita juga tidak perlu menghantar bantuan kemanusiaan ke Bosnia semasa pembantaian yang dahsyat di Srebrenica,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada Khamis, media melaporkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menyarankan kerajaan agar memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyatakan komitmen untuk membangunkan semula Gaza.
Selain itu, Muhammad Kamil berkata, Ketika dunia membisu dalam perang Bosnia, Malaysia tidak hanya menonjolkan solidariti, malah menghantar pasukan pengaman, memberi bantuan ketenteraan secara signifikan untuk membela rakyat yang dizalimi.
“Jika pada ketika itu kita mampu bertindak dan punyai sikap keprihatinan yang tinggi, lantas mengapa sekarang kita perlu ‘menjaga tepi kain sendiri’ dan mengabaikan tuntutan keadilan buat rakyat Palestin? katanya.
Beliau berkata, pejuang antiaaparteid dan bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela turut membela rakyat Palestin serta membangkitkan bahawa keadilan tidak mengenal sempadan, maka tidak wajar jika rakyat Malaysia menentang usaha murni Perdana Menteri.
Beliau juga memberi contoh mengenai pemikir dan intelektual Palestin, Edward Said yang menyebut mengenai ‘setiap penindasan yang tidak dibantah adalah satu keizinan untuk penindasan yang lebih dahsyat’.
Katanya, alasan rakyat negara ini perlu diutamakan berbanding orang luar merupakan hujan yang ‘sangat malas’.
“Sejak bila menonjolkan kepedulian kepada Palestin bermakna kita menggadai dan mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat sendiri? Adakah keupayaan untuk punyai sikap ihsan terbatas pada rakyat sendiri sahaja,” katanya.