
KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan untuk menyalurkan bantuan dalam membangunkan semula Semenanjung Gaza mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agamawan.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata, usaha kerajaan dalam membantu memulihkan Semenanjung Gaza adalah satu langkah yang amat terpuji dan selaras dengan tuntutan Islam.
Katanya, Islam menggalakkan umatnya untuk membantu saudara-saudara yang berada dalam kesusahan, terutama mereka yang dizalimi dan memerlukan pertolongan.
Beliau menjelaskan, dalam Islam, membantu mereka yang dalam kesusahan adalah satu kewajipan agama. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”
“Ayat ini jelas menunjukkan Islam menyeru umatnya untuk bekerjasama dalam kebaikan, termasuk membantu saudara-saudara seagama yang ditindas dan menderita akibat peperangan serta penindasan,” katanya kepada Ceritera.
Selain itu, Mohd Sukki juga menyatakan Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa “Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan membantu keperluannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Hadis ini menggambarkan betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang membantu sesama manusia, lebih-lebih lagi dalam keadaan darurat seperti di Gaza.
“Kerajaan boleh memainkan beberapa peranan penting dalam membantu Gaza seperti bantuan kemanusiaan, sokongan kewangan dan diplomatik, dan menyediakan Pendidikan yang berterusan,” ujarnya.
Turut senada, Pengerusi Duat al-Falah, Faiz Fateh Al-Azhari berkata, pertubuhan itu sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku di bumi Gaza dan mengalu-alukan sokongan dan bantuan daripada semua pihak untuk membangunkan semula wilayah tersebut.
Katanya, usaha itu bagi memastikan rakyat Palestin terus kekal mempertahankan tanah airnya, selain dapat memulakan kehidupan dengan baik.
“Pengumuman kerajaan untuk membantu bina semula kehidupan di Gaza amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia dan Duat al-Falah memuji Tindakan pantas kerajaan yang sentiasa peka dengan keadaan umat Islam di Gaza.
“Usahasama dengan negara Asia Timur juga disifatkan langkah yang bijak untuk mewujudkan naratif Israel sebagai penjajah yang biadap dan kejam.
“Duat al-Falah akan menyokong usaha murni kerajaan itu dengan menggerakkan kempen dan perbanyakkan wacana untuk beri kefahaman kepada rakyat negara ini untuk Bersama bina semula Gaza,” katanya kepada Ceritera.
Dalam pada itu, NGO Global Peace Mission (GPM) Malaysia menyatakan pihaknya sentiasa menyokong penuh inisiatif kerajaan, khususnya di Bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyegerakan pembangunan semula Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Syahrir Azfar Saleh berkata, NGO itu mengalu-alukan Kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun untuk menubuhkan dana pembangunan melalui inisiatif Asia Timur yang memberi tumpuan dalam pembinaan sekolah, masjid dan hospital di Gaza.
“Sebagai sebuah NGO yang komited terhadap keamanan dan kesejahteraan global, GPM sentiasa menyokong proses pemulihan Gaza melalui pelancaran #KempenPulihkanGaza yang dimulakan sejak Januari tahun ini.
“Kempen ini memberi tumpuan kepada beberapa aspek pemulihan kritikal seperti membaiki dan membina semula kediaman yang rosak atau musnah, mewujudkan semula sector Pendidikan, memberi perlindungan kepada anak-anak Gaza yang menjadi Yatim piatu.
“Kami juga akan membantu dalam membangunkan semula ekonomi Gaza dan meneruskan bantuan kecemasan seperti khemah, makanan asas, air bersih,” katanya dalam kenyataan.