
IPOH: Kerajaan hari ini mengumumkan bantuan segera kepada semua mangsa banjir di Sabah dan Sarawak bagi meringankan beban mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata setiap keluarga yang terjejas akibat banjir, kebakaran, dan tanah runtuh akan menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000.
Beliau turut mengarahkan supaya semua maklumat berkaitan bencana alam itu disegerakan bagi memastikan kelulusan bantuan dibuat secepat mungkin.
Kata beliau, kerajaan turut memperuntukkan dana tambahan sehingga RM24 juta bagi membaiki kerosakan besar yang berlaku akibat bencana alam berkenaan.
“Bantuan ini tidak bergantung kepada negeri atau musim tertentu, tetapi disebabkan oleh dasar tanggungjawab kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
“Mana-mana negara di dunia ini pun pasti akan mengutamakan kebajikan rakyat bila berlaku musibah, soal politik atau apa, kita tunggu dulu,” katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh, Perak, hari ini.
Dalam pada itu, keadaan banjir di Sabah petang ini meningkat dengan keseluruhan mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini meningkat kepada 5,725 orang berbanding 4,990 orang pada 12 tengah semalam.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 10 daerah terlibat iaitu Kota Marudu, Tongod; Telupid; Sandakan; Kota Belud; Lahad Datu; Beluran; Paitan; Pitas dan Beaufort.
Menurut kenyataan itu, Kota Marudu terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,944 mangsa daripada 1,095 keluarga.