Dewan Rakyat terima makluman kekosongan Parlimen Kimanis


KUALA LUMPUR 9 Dis. – Dewan Rakyat telah menerima surat daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kimanis.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, surat bertarikh hari ini itu selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa telah berlaku kekosongan luar jangka bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.176 Kimanis mulaui 10 Disember ini.

Menurut beliau, ini berikutan SPR menerima Perakuan Mahkamah Persekutuan menurut Seksyen 36A(3)(a), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Perakuan itu mengisytiharkan keputusan pilihan raya umum bagi Bahagian Parlimen P.176 Kimanis yang disandang oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Anifah bin Aman pada 9 Mei 2018 adalah tidak sah dan terbatal.

“Sehubungan itu, pihak SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini.

Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak kemenangan Anifah bagi kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Calon Parti Warisan Sabah, Datuk Karim Bujang telah memfailkan petisyen pada 18 Jun tahun lalu bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum lalu, Anifah yang juga bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *