AirAsia, Universal Music Group lancar RedRecords
KUALA LUMPUR 9 Dis. – Kumpulan AirAsia dan Universal Music Group (UMG) melancarkan RedRecords, sebuah usaha sama yang inovatif untuk menandatangani, membangunkan artis baharu Asia dan mengangkat muzik pop Asia (A-Pop) kepada audiens di peringkat global.
RedRecords akan memberi tumpuan kepada pencarian dan pembangunan bakat dari Asia Tenggara dan seluruh benua dengan kriteria pemilihan yang mencerminkan kepelbagaian budaya di Asia.
RedRecords akan berpangkalan di Kuala Lumpur dan Los Angeles serta menggabungkan kepakaran industri UMG dalam pembangunan artis dengan kekuatan pemasaran serantau dan global AirAsia untuk mengembangkan muzik A-Pop.
Selain pembangunan artis dan A&R, syarikat rakaman tersebut juga akan menyediakan perkhidmatan pengedaran, pemasaran, pengurusan dan agensi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pengumuman itu amat penting untuk AirAsia, malah dirinya sendiri.
“Ini tidak mungkin terjadi kalau tidak kerana rakan seperjuangan saya, Kamarudin (Datuk Kamarudin Meranun) dan Nadda (Nadda Buranasiri), yang saya temui melalui industri muzik.
“Kami telah merevolusikan perjalanan udara supaya semua orang boleh terbang dan sempena meraikan operasi AirAsia yang ke-18, kami akan memfokuskan kepada transformasi sebagai peneraju gaya hidup dan syarikat perjalanan digital di peringkat global,” katanya pada majlis pelancaran RecRecords.
Menurut beliau, bagai ‘sirih pulang ke gagang’, pihaknya kini kembali kepada industri muzik untuk merevolusikan budaya pop Asia pada masa depan dan meletakkannya di pentas global bersama Universal Music sempena pelancaran RedRecords.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Universal Music Group, Sir Lucian Grainge berkata, pihaknya teruja untuk mengumumkan pelancaran RedRecords bersama Tony dan pasukannya di AirAsia.
“Kejayaan di seluruh dunia muzik Latin dan K-Pop telah membuktikan bahawa tiada halangan kepada muzik tanpa mengira bahasa dalam era penstriman ini. Melalui gabungan pemasaran strategik dan sumber sedia ada oleh AirAsia dan UMG, kami boleh menawarkan artis-artis Asia peluang keemasan untuk menempa nama secara global,” jelasnya.
Terdahulu, RedRecords mengumumkan artis naungan pertamanya, Jannine Weigel, seorang penyanyi, penulis lirik, pempengaruh dan pelakon dari Thailand.
Weigel telah mengeluarkan beberapa single dan EP dan mempunyai lebih 600 juta tontonan selain 3.3 juta pengikut di YouTube, 3.2 juta pengikut di Facebook, 1.5 juta di Instagram dan lebih daripada 500,000 di TikTok.
Weigel berkata: “Saya amat berbangga menjadi artis pertama di bawah RedRecords dan mempunyai sokongan daripada pasukan yang sangat hebat untuk membawa kerjaya saya ke tahap yang lebih tinggi.”
Awal tahun ini, UMG mengumumkan perkembangan operasi di rantau ini dengan pelancaran ibu pejabat serantau baharu di Singapura.
UMG komited untuk mempercepatkan tumpuannya dalam mengembangkan keseluruhan ekosistem muzik di seluruh Asia Tenggara termasuk muzik yang telah direkodkan, penerbitan muzik, pengeluaran, acara langsung, perkongsian jenama dan barangan.