
AHMAD SHAZILY ISMAIL BAKTI (depan, kanan) menyempurnakan gimik pelancaran majlis Indaba dan Sambutan 100 Tahun Latihan Pengakap Sedunia Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Victoria Institution, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Pergerakan Pengakap yang telah lama dikenali sebagai organisasi mendidik golongan muda diakui berjaya membentuk anggotanya menjadi individu yang baik serta membantu kepada pembangunan negara daripada pelbagai aspek.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shazily Ismail Bakti berkata, banyak bukti yang menyokong kepada perkara tersebut, baik di dalam atau di luar negara.
Menurutnya, mereka yang berjaya termasuk ahli perniagaan, Bill Gates serta angkasawan antaranya Neils Amstrong dan Buzz Aldrin iaitu manusia pertama dan kedua menjejakkan kaki ke Bulan.
Malah jelas beliau, penerima-penerima Hadiah Nobel seperti Peter Agre, William Moerner dan Thomas Cech adalah Eagle Scouts iaitu setaraf dengan Pengakap Diraja di negara ini.
“Kalau di Malaysia, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, nama-nama seperti Tan Sri Mustapha Kamal dan Tan Sri Halim Mazmin adalah Pengakap ketika mereka masih remaja,” katanya ketika menyempurnakan majlis Indaba dan Sambutan 100 Tahun Latihan Sedunia Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Victora Institution dekat sini.
Yang turut hadir, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin, mantan Pengerusi Majlis Pengakap Sedunia dan satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima pingat Bronx Wolf daripada World Organization of the Scout Movement (WOSM).

Latihan kepimpinan dalam pergerakan Pengakap bertujuan menyediakan golongan dewasa dalam Pengakap (adult in scouting), menjadi pemimpin Pengakap yang berilmu, berkemahiran serta mampu membentuk generasi muda remaja yang berguna.
Selain itu, majlis tersebut diadakan sebagai ‘Indaba’ iaitu perhimpunan atau perjumpaan pemimpin Pengakap.
Indaba menjadi medan para pemimpin Pengakap untuk mengenali rakan baharu, saling berkongsi pengalaman, sekali gus memperoleh ilmu dan kemahiran baharu dalam usaha membentuk serta membangunkan pergerakan Pengakap.
Ahmad Shazily menambah, semua pencapaian individu di dalam Pengakap tidak mungkin tercapai sekiranya jurulatih dan pemimpin mereka tidak menjalankan tugas dengan baik.
Terdahulu, Pasukan Latihan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menganjurkan pemukiman (retreat) membabitkan barisan pemimpin dan jurulatih Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Kuala Lumpur.