
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil pelawak dan pelakon Harith Iskander berhubung hantaran dalam Facebook mengenai isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam.
Menerusi kenyataan, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata jabatan itu juga sudah membuat laporan polis.
“Jakim juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata, Jakim tidak sesekali berkompromi dengan tindakan mempersendakan ajaran Islam dan menyinggung sensitiviti umat Islam.
Beliau turut menyeru semua pihak mengamalkan sifat hormat dan bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat, selain meminta semua pihak bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam perlembagaan negara haruslah dihormati pada setiap masa dan bukanlah alasan untuk masyarakat tidak menjalani kehidupan yang harmoni dalam situasi masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.
Harith Iskander, 54, didakwa memuat naik hantaran itu semasa kontroversi sandwic ‘ham and cheese’ yang dikatakan diragui status halalnya, baru-baru ini.
Hantaran berkenaan didakwa membuka ruang mempersendakan agama Islam apabila seorang pengguna media sosial meninggalkan komen pada hantaran itu yang dipercayai mengaitkan ‘ham’ dengan nama Nabi Muhammad SAW.