
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan seorang peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung sekatan terhadap hantaran dalam Facebooknya pada tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Anand Ponnudurai hari ini.
Peguam yang mewakili Dr Shamser Singh Thind, A. Srimurugan berkata, mahkamah memutuskan keputusan untuk mengalih keluar hantaran Shamser Singh yang juga merupakan peguam dilakukan Facebook dan bukannya MCMC, sehubungan itu ia tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Srimurugan berkata, hakim berpendapat tindakan MCMC bukan keputusan yang boleh dikaji semula oleh mahkamah kerana MCMC hanya mengeluarkan permintaan untuk tindakan, manakala keputusan dibuat oleh Facebook.
“Hakim menjelaskan platform media social mempunyai kata putus dalam pengawalan kandungan walaupun diminta oleh pengawal selia seperti MCMC,” katanya.
Shamser Singh pada 4 Jun tahun lalu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan permintaan pentadbiran yang menyebabkan hantaran Facebooknya disekat untuk pengguna Malaysia pada Mei 2024.
Peguam itu mendakwa MCMC melanggar kebebasan bersuara dengan menyekat hantaran berkenaan.
Dia juga mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan MCMC itu salah di sisi undang-undang dan mahu suruhanjaya berkenaan menggugurkan arahan kepada Facebook yang meminta hantaran itu disekat.