
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan yang diambil terhadap tiga DJ yang didakwa mempermainkan isu sensitif yang melibatkan penganut Hindu.
Menurut Akmal, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penghinaan agama tanpa mengira latar belakang.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau, Akmal berkata, “Saya menyokong tindakan terhadap tiga DJ yang mempermainkan isu sensitif bagi penganut Hindu. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini dalam isu Pak Cik Jagung, kita tidak boleh menerima tingkah laku sebegini hanya dengan permohonan maaf dan menganggapnya selesai.”
Akmal menekankan bahawa hukuman yang sewajarnya perlu dikenakan bagi memastikan tiada sesiapa yang terlepas, tidak kira latar belakang agama, bangsa, atau negara.
“Tindakan yang tegas perlu diambil dan tiada siapa pun yang boleh dikecualikan daripada tindakan ini,” tambahnya.
Selain itu, Akmal turut mempersoalkan perkembangan terkini siasatan kes yang melibatkan Cecilia Yap dan Harith Iskander, yang dikatakan menghina Islam.
Beliau berkata, “Jika tiga DJ ini telah disiasat dan dihukum oleh majikan mereka, apa perkembangan terkini kes Cecilia Yap dan Harith Iskander yang memperlekehkan nama Nabi Muhammad dan agama Islam?”
Akmal menegaskan bahawa undang-undang perlu dilaksanakan secara adil tanpa memilih bulu. “Undang-undang mesti diterapkan secara saksama untuk semua pihak, tanpa mengira sokongan atau pengaruh individu,” katanya lagi.