
KUALA LUMPUR: Pengguna kekal membayar kadar elektrik yang sama seperti sebelum ini.
Penegasan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai maklum balas kepada pengumuman mengenai kenaikan tarif elektrik dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata keputusan yang dibuat syarikat pembekal elektrik itu tidak menggambarkan keseluruhan keputusan kerajaan memandangkan ia dibuat ketika jadual tarif baharu belum dimuktamadkan, biarpun kadar purata asas sudah diputuskan kerajaan.
“(Pengekalan tarif elektrik) selari persetujuan kerajaan mengenai penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi TNB di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), pada 13 Disember lalu.
“Persetujuan itu bagi tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula pada 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2027.
“Kementerian pada 20 Disember lalu, juga menyiarkan kenyataan media bertajuk ‘Pengekalan Tarif Elektrik di Semenanjung: Kerajaan Menyediakan Subsidi Elektrik Sebanyak RM5.96 Bilion Bagi Tempoh 1 Januari Hingga 30 Jun 2025’,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berhubung tindakan terhadap ahli lembaga TNB selepas membuat pengumuman palsu mengenai kenaikan tarif elektrik yang melanggar obligasi Penzahiran Maklumat Material di bawah Peraturan Suruhanjaya Sekuriti.
Tambah Fadilah, penetapan tarif asas elektrik dibuat berdasarkan mekanisme Peraturan Berdasarkan Insentif (IBR), sejak 2014.
“Melalui IBR, purata tarif asas di Semenanjung untuk TNB akan dikaji setiap tiga tahun berserta penetapan parameter asas bagi perniagaan TNB yang diselia melalui Suruhanjaya Tenaga (ST),” jelasnya.