Konflik Teresa Kok & Dr. Muhamad Akmal: Isu Pensijilan Halal di Malaysia
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal menegaskan bahawa beliau tidak gentar dengan tindakan undang-undang Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, susulan kenyataan yang dibuat berhubung isu pensijilan halal. “Ok nyonya. Kita jumpa di mahkamah. No fear, no surrender (tidak takut, tidak akan mengalah),” kata Dr. Akmal, membalas LOD (surat tuntutan) bernilai RM25 juta yang dikemukakan oleh Teresa.
Teresa, Naib Pengerusi DAP, mengambil tindakan selepas Dr. Akmal didakwa memutar belit kenyataannya mengenai cadangan pensijilan halal ke atas restoran dan syarikat makanan. Menurut LOD yang dihantar oleh peguam Teresa, Sankara Nair & Partners, beliau menuntut Dr. Akmal membayar segala kos guaman dan perbelanjaan berkaitan.
Dalam notis tersebut, Teresa memberi tempoh tujuh hari bekerja kepada Dr. Akmal untuk memberikan maklum balas yang memuaskan. Jika gagal, tindakan undang-undang akan dimulakan tanpa sebarang notis lanjut.
Isu Pensijilan Halal: Pendapat Berbeza
Teresa Kok sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa pensijilan halal yang diwajibkan akan membebankan peniaga kecil, terutamanya dari segi kos pentadbiran dan operasi. Beliau menyatakan bahawa langkah ini hanya menambah kesukaran kepada perniagaan kecil yang terpaksa menanggung kos tambahan untuk mendapatkan sijil halal.
Bagaimanapun, Dr. Akmal tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Dalam kenyataan balasnya, beliau menuduh Teresa tidak memahami sepenuhnya kepentingan sijil halal, malah melabelnya sebagai ‘nyonya tua’. Beliau menegaskan bahawa sijil halal bukan sahaja berkaitan dengan arak dan babi, tetapi juga melibatkan cara penyediaan makanan dan sumber perniagaan.
Sijil Halal Kini Lebih Mudah Diperoleh
Dr. Akmal turut menyatakan bahawa proses mendapatkan sijil halal kini dipermudahkan, dengan tempoh kelulusan dipendekkan kepada hanya 23 hari, berbanding bulan-bulan yang diperlukan sebelum ini. “Jadi apa masalah kamu dengan sijil halal ini?” soalnya kepada Teresa dalam sebuah video yang dimuatnaik di TikTok.