
KUALA LUMPUR: Dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas tampil membuat dakwaan mereka dikasari secara fizikal Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, ketika menjalankan tugas rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, 28 September lalu.
Dua anggota berkenaan ialah Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad.
Peguam yang mewakili kedua-duanya, Kamal Hisham Ja’afar, berkata kejadian didakwa berlaku di kawasan awam sehingga menyebabkan anak guamnya mengalami kecederaan selain menjejaskan maruah mereka sebagai penjawat awam.
“Perlu ditegaskan AKPS bukan sebahagian daripada PDRM dan kedua-dua agensi ini mempunyai fungsi serta bidang kuasa yang berbeza.
“Kami memandang serius sebarang dakwaan penggunaan kekerasan terhadap penjawat awam, khususnya ketika mereka sedang melaksanakan tugas rasmi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua anggota terbabit turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan atau gambaran bahawa mereka bertindak sebagai ‘ulat’ atau terbabit dengan aktiviti ‘counter setting’.
Katanya, terdapat kenyataan menerusi media sosial dan saluran rasmi selepas kejadian yang didakwa memberikan gambaran berbeza daripada situasi sebenar.
“Sebarang dakwaan sedemikian hendaklah disokong dengan bukti dan tidak seharusnya digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada isu utama, iaitu dakwaan Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain sudah mengasari kedua-dua anggota polis berkenaan.
“Mana-mana kenyataan awam berhubung perkara yang masih dalam siasatan hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab agar tidak menjejaskan siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Kamal Hisham berkata, berdasarkan fakta dan keterangan yang dikemukakan, tindakan berkenaan berpotensi disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Katanya, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh berdasarkan bukti serta fakta yang diperoleh.
Beliau berkata, sebarang dakwaan penggunaan kekerasan terhadap penjawat awam perlu dipandang serius tanpa mengira pangkat atau kedudukan mana-mana pihak.
“Kegagalan menangani dakwaan sedemikian secara sewajarnya berpotensi memberikan persepsi yang salah kepada masyarakat bahawa penggunaan kekerasan terhadap penjawat awam boleh diterima atau dibiarkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut supaya siasatan dijalankan secara telus, bebas dan segera, selain tindakan undang-undang sewajarnya diambil berdasarkan hasil siasatan.
Beliau turut meminta semua pihak mengelakkan sebarang kenyataan awam yang boleh menjejaskan atau mempengaruhi proses siasatan.
Dalam pada itu, masyarakat diseru supaya tidak membuat sebarang kesimpulan berdasarkan naratif yang belum disahkan dan menyerahkan proses siasatan kepada pihak berkuasa.
Sebelum ini, Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular memaparkan dirinya memarahi seorang individu di Terminal 1, KLIA.
Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu berkenaan.




