
KUALA LUMPUR: Peraturan berkaitan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penggunaan gelang elektronik serta kategori pelawat yang dibenarkan bagi tahanan rumah masih belum dimuktamadkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ketika ini tiada perintah tahanan rumah dikeluarkan di bawah undang-undang khusus berikutan cadangan perundangan berkenaan masih dalam proses semakan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Katanya, kerajaan pada dasarnya bersetuju mewujudkan kerangka perundangan bagi membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat tertentu dipertimbangkan menjalani tahanan di rumah sebagai alternatif kepada penempatan di penjara sementara menunggu perbicaraan.
“Bagaimanapun, perkara berkaitan kewajipan pemasangan CCTV, pemakaian gelang kaki elektronik atau peranti pemantauan khusus serta kategori pelawat yang dibenarkan masih belum dapat dimuktamadkan.
“Ia kerana aspek itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang dimuktamadkan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah perintah tahanan rumah yang pernah dikeluarkan serta keperluan pemantauan CCTV, peranti elektronik dan kategori pelawat bagi individu yang dikenakan tahanan rumah.
Sementara itu, Saifuddin Nasution menjelaskan pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berbeza dengan perintah tahanan rumah yang dicadangkan menerusi Rang Undang-Undang Tahanan Rumah.
“Pengampunan bersyarat adalah prerogatif pengampunan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya tertakluk kepada keputusan serta syarat yang ditetapkan pihak berkuasa pengampunan berkenaan.
“Oleh itu, sesuatu penempatan di rumah yang dibuat berikutan keputusan pengampunan bersyarat tidak boleh disamakan secara langsung dengan perintah tahanan rumah yang dikeluarkan mahkamah di bawah akta khusus,” katanya.
Katanya, bagi pengampunan bersyarat, sebarang syarat berkaitan kawalan, pemantauan pergerakan dan lawatan tertakluk kepada keputusan serta syarat yang ditetapkan, termasuk SOP pelaksanaannya.
“Sebagai contoh, jika seseorang banduan dikehendaki berada di kediaman di bawah pengampunan bersyarat, perkara seperti lawatan, kawalan dan pemantauan pergerakan perlu diperincikan melalui SOP berkaitan,” katanya.




